Apr 01, 2023 - FASDerbi Lembah Klang menentang KL City FC berakhir dengan Selangor FC membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan keenam Liga Super 2023 dengan keputusan 3-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Menurut Tan Cheng Hoe, Ketua Jurulatih Selangor FC, pemain telah bekerja keras untuk dapatkan kemenangan Derbi Lembah Klang ini.
“Ini adalah perlawanan Derbi Lembah Klang, pastinya merupakan perlawanan yang sukar. Tiga mata semalam adalah sangat penting untuk kami bagi menambah keyakinan dan penguat semangat untuk pasukan.
Pasukan hanya dapat berlatih bersama dengan jumlah pemain yang cukup pada dua hari yang lalu, jadi posisi kami tidak mudah namun pemain tahu apa tugasan mereka dan faham apa yang saya mahukan, itu memudahkan kami di barisan jurulatih. Secara keseluruhan, saya ucapkan tahniah kepada pemain, merekalah yang berusaha keras untuk dapatkan kemenangan ini,” puji Tan Cheng Hoe.
Daripada perlawanan #KLCSEL semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-
Ayron menambah dua gol peribadinya
Pemain penyerang import baharu Selangor FC, Ayron Del Valle berjaya menambah 2 jaringan gol perbadinya semalam pada minit ke-32 jaringan penalti dan minit ke-54 perlawanan. Ini sekaligus menjadikan gol keempat beliau buat pasukan Gergasi Merah.
Faisal Halim terus menambah sumbangannya untuk pasukan
Pemain yang membuat sumbangan dalam setiap perlawanan, Faisal Halim, kali ini menjaringkan gol sulungnya melalui sepakan penalti pada minit ke-41 perlawanan. Beliau sebelum ini telah menyumbang empat bantuan gol sebagai seorang pemain sayap yang cukup ligat. Mengikut purata, Faisal sekurang-kurangnya akan menambah rekod peribadinya dalam setiap perlawanan.
Khairulazhan Khalid terus cemerlang
Mengikut perlawanan semalam, Khairulazhan telah menyelamatkan gawang pasukan daripada cubaan bahaya pasukan KL City dengan cemerlang.
Brendan Gan, Yazan Al-Arab, Faisal Halim, Quentin Cheng harus diberi pujian
Pemain-pemain Kebangsaan ini baru sahaja pulang pada 30 Mac yang lalu, bersamaan sehari sebelum perlawanan. Mereka terus beraksi biarpun baru sahaja kembali ke kem Gergasi Merah. Semangat juang mereka harus diberi pujian.
Selangor FC beterima kasih kepada pasukan kerana telah berikan segala untuk pasukan sehingga mendapat keputusan yang terbaik ini. Semoga dapat mengekalkan momentum baik ini dalam perlawanan seterusnya. Teruskan perjuangan, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!